Malaysia yang maju dan dinamik memerlukan penyertaan semua potensi yang ada dalam kalangan rakyatnya sama ada pada tahap berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Oleh itu, sistem pendidikan seharusnya mengiktiraf keadaan permintaan yang sentiasa berubah-ubah dari segi keperluan syarikat-syarikat multinasional yang besar. Hal ini adalah penting bagi memastikan negara dapat menghasilkan modal insan yang terlatih secukupnya dan sesuai dan tidak menghadapi masalah kekurangan kemahiran. Graduan merupakan sumber bakat utama dan terbesar negara yang dihasilkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mestilah mempunyai nilai dan atribut yang baik agar mereka mampu diterima oleh pasaran tempatan. Pada masa kini, kekurangan dilihat dalam bidang komunikasi, pengetahuan ICT dan kemahiran profesional dan teknikal yang telah menyebabkan bekalan tidak mencukupi daripada graduan.
Pelan Kebolehpasaran Graduan 2012-2017 telah dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi meningkatkan potensi graduan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian. Pelan itu meletakkan sasaran memastikan sekurang-kurangnya 75 peratus graduan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik saja menamatkan pengajian masing-masing(Berita Harian, 2012). Oleh itu, Institut Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam menghasilkan graduan yang berkebolehan dan bersedia ditempatkan dalam apa juga sektor pekerjaan tidak kira di dalam atau luar negara.
Isu atau masalah kebolehpasaran graduan ini sering kali dikaitkan dengan faktor kompetensi graduan, di mana dikatakan bahawa ramai graduan gagal memenuhi faktor-faktor yang diperlukan oleh para majikan.Seminar “Enchancing Graduate Employability: Issues, Concerns and the Way Forward”, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan graduan tempatan mempunyai kekurangan dalam 3 kompetensi utama iaitu imej atau keterampilan diri, kemahiran komunikasi berkesan dan kemahiran berbahasa Inggeris. Ketiga-tiga faktor ini adalah merupakan kompetensi yang digariskan oleh pihak majikan atau industri di dalam memilih pekerja.
Sehubungan dengan itu,institusi pendidikan, wajar memperkasakan kemahiran teknikal pelajar disamping meningkatkan kemahiran kendiri (soft skill) serta kompetensi. Pendedahan kepada kemahiran-kemahiran ini, akan membantu graduan untuk mengadaptasi kepada keadaan sebenar selepas mendapat pekerjaan kelak. Dengan adanya persiapan kendiri dari segi mental dan fizikal yang kukuh di kalangan pelajar, ini akan membantu untuk menyediakan kebolehpasaran graduan tidak kira di dalam atau di luar negara.

